RAHIM & LINDA ~ together forever...

Blog EntryClear for landing...Sep 27, '08 7:41 PM
for everyone
Alhamdulillah kami dah selamat sampai di Malaysia. Dalam flight Nurin pon tak banyak buat hal kali ni .. tapi jenuh jugak dok 11jam dlm flight. Kami bertolak dari Arlanda airport tepat jam 1.10tghari, buka puasa dalam flight pada pukul 4.40ptg makan nasik lauk ayam & daging, lepas terawih makan snack, kek dan sahur semula 10.40mlm makan nasik lemak… sampai KLIA pukul 12.15mlm (6.15pg waktu Msia). Kemudian tunggu nenek ngan mak ani amik kat airport, terus ke LCCT utk naik Airasia flight ke Penang..sampai Penang dah pukul 11.40. Mak tok ngan Wan dah tggu kami kt airport dan terus naik kereta ke Kedah…fuhhh, penat jugak perjalanan kami ari tuuh..suhu sekitar 30C.. sampai merah2 pipi Sarah & Nurin tak tahulah samada tak cukup tiduh atau cuaca panas.. yelah kalo dikira2 dah 22jam kami dlm perjalanan.. keluar rumah di Flogsta pkl 10am sampai Kedah dlm pkl 2ptg (8am waktu Sweden) waktu tiduh pon dah tak menentu…sempat berbual sekejap ngan diorang, mandi, solat.. pastu dah pengsan sampai  maghrib (mcm tahu2 jer  org nak buka pose dia bangun)

 Hari ke 3 ibu, acu, sarah n nurin pegi shoping lagi, ayah dok umah jelah..menu buka pose hari ni ikan bakar,tempoyak udang, kari ikan….fuhhh makruh citer bab makanan lelebih bulan pose ni..hehehe…tapi bila citer bab bakar membakar ni teringat plak member2 kat Sweden…huhuhu…kt sini nak makan sate kami beli jelah…errr…rasa mcm nk makan sate kajang plak, takpelah nnti balik melaka nak singgah makan & mintak resepi kt tokeh tuu..nanti boleh buat kt Sweden…hahaha..

Hari ke 4 ibu, ayah, mak tok, pak ngah, acu pegi shoping.. kali ni plan nak keluar umah awal pagi so pukul 10pg sarah ngan nurin dah kena kejut…tapi berlakulah insiden yg tak diingini…hahahaha…nurin buat spoil plak…tetiba jer muntah kat atas baju ayah dalam kereta wan, terpaksa berhenti kereta beli air mineral cuci ape yg patut..bila dah jalan semula dia muntah lagi atas baju ibu pulak…huhuhu…so kesimpulannya kami balik jelah…pegi hantar kedai cuci kereta, kedai plak tak bleh nak buat cuci kusyen..so kenalah ayah ngan pak ngah cuci sendiri…nurinn nurriinnnn….lepas zohor barulah kami pegi shoping semula kat TESCO…balik dah kol 6ptg. Hari ni sarah ngan nurin pon dah nampak serasi ngan diorang..dah boleh bersembang, tiap2 petang tolong tok wan siram pokok, tangkap belalang, katak…biasalah budak2 kampung rumah wan plak tepi sawah, mungkin dah besar sikit bolehlah p tangkap ikan…huhuhuhu… malam ni sarah nak tiduh ngan mak tok dan acu dia…seronoklah dia bila ade org layan dia bersembang sampai kol 1 pagi...zzzzzzzzzzzzzzzz…..sambung esok!

Hari ke 5 ibu, pak ngah, acu pegi shoping lagi kat Pacific…hari ni kami bukak pose makan masak lemak ketam dgn ikan bakar…pastu malamnya sarah ngan nurin main bunga api…punyalah jakun nurin dapat main bunga api .. mula2 takut pastu seronok tak ingat dunia…sampai dah habis main pon masih ikut wan ke mana pegi sampai masuk ke bilik wan…nak tengok kot2 wan nak bagi bunga api lagi….hehehe…..

Hari ke 6 shoping lagi..tapi kali ini kami mencari kedai menjual intan berlian tiga abdul ( abdul wahab, abdul wahid dan abdul wahub) setelah puas mencari maka kami pon singgahlah sebentar di kedai abdul wahub (poh kong) untuk mencari cincin pertunangan bakal adik ipar…sebenarnya pak ngah buat surprised katanya nak bertunang hari raya ni…dah terlanjur beli cincin tunang pak ngah maka ibu belilah sekali gelang tangan kakak sarah…hari ni bukak pose ngan laksa kedah, nasik goreng + pizza hut.

Hari ke 7, pagi ni lepas subuh wan ngan pak ngah dah keluar umah pegi pasar..takut ramai org kalo keluar lewat..yelah esokkan dah nak raya mesti ramai org hari ni…aktiviti hari ni dah tak pegi shoping lagi dah... mengemas rumah, masak memasak itu jer…

Ingat nak masuk kan gambar sekali dalam multiply ni tapi tak bolehlah mungkin kena tggu lama kot, dah resize pon tak boleh jugak..lagipun kt kedah guna dial up jer..karang guna lelama internet takut org nak tipon umah plak tak dapat2…so takpelah nanti balik melaka kami upload gambar skali…


Blog EntryPengalaman bersalin (NURIN INSYIRAH BINTI RAHIM)Dec 14, '06 3:50 AM
for everyone
 


Ketika ayah membawa ibu membuat pemeriksaan di Klinik Maimunah, Skudai, Johor pada 17hb Jun 2005 ibu telah disahkan mengandung 8minggu dan dijangka akan melahirkan anak pada 10hb Februari 2006. Ayah begitu gembira sekali, walaupun ibu rasa terkejut kerana masih terlalu awal untuk mengandung lagi, mungkin juga kerana pengalaman bersalinkan kakak Sarah masih terbayang-bayang diingatan. Pada Ogos 2005 Ibu mula membuat pemeriksaan di klinik kesihatan UTM dan mengikut kiraan doktor menjangkakan tarikh kelahiran pada 24hb Jan 2006.

Sewaktu seminggu lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Puasa, 23hb Ramadhan 1426H, ketika ayah membawa ibu membuat pemeriksaan di klinik UTM, Doktor mengatakan bahawa saiz bayi tidak berubah sama seperti pemeriksaan bulan lepas, saiz bayi terlalu kecil. Doktor risau akan perkembangan bayi dan menyuruh kami berjumpa doctor pakar. Keadaan ini telah merunsingkan ibu dan melemahkan semangat ayah dan ibu untuk menyambut hari raya, dengan segera ayah terus membawa ibu ke klinik pakar sakit puan Dr Latipah di Bandar Baru Uda. Setelah Dr Latipah membuat pemeriksaan, ayah berasa bersyukur kerana saiz bayi berada dalam keadaan normal. Rupa-rupanya doktor tersebut telah tersilap membuat anggaran, dia menyangkakan saiz tangan adalah kaki untuk menentukan ukuran saiz bayi.

 Hari berlalu dengan begitu pantas, begitu juga dengan berat ibu yang semakin meningkat dari 60kg hingga mencecah 78kg, tetapi ibu bersyukur kerana tidak mengalami alahan yang teruk sepanjang tempoh kehamilan. Pada 22hb Feb 2006, Mak tok (nenek) telah datang ke rumah sebagai persediaan awal untuk menjaga kakak Sarah sekiranya berlaku sebarang kemungkinan untuk ayah menghantar ibu ke hospital. Pada 26hb Jan 2006 setelah 2 hari lewat untuk bersalin, ibu membuat pemeriksaan diklinik UTM dan pihak klinik telah mengesyorkan supaya pergi ke Hospital Besar Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk membuat pemeriksaan susulan kerana telah terlebih hari. Pada keesokan harinya ketika sampai di hospital besar, ayah lihat orang terlalu ramai sekali dan apabila terpandang saja papan nama doktor lelaki sebagai doktor pakar sakit puan, ayah terus berubah arah mengajak ibu ke hospital pakar puteri.

Di hospital pakar puteri, ibu telah berjumpa dengan Dr Laila, setelah pemeriksaan dibuat beliau memberikan due date yang baru iaitu pada 9hb Feb 2006. Kami dibawa melawat bilik bersalin supaya mudah kami pergi apabila berlaku kecemasan nanti. Setelah menunggu hampir 2minggu di Johor, mak tok mengambil keputusan untuk pulang ke kedah dan akan datang semula pada minggu depan bersama tok wan.

Pada pukul 4pagi, 9hb Feb 2006 ibu telah mula rasa sakit perut, setelah buang air besar hilang rasa sakit tersebut tetapi selang sejam kemudian sakit itu datang lagi. Selepas subuh ibu memberitahu ayah perkara ini, ayah mengagak bahawa itu adalah kontraksi untuk bersalin, kebetulan hari ini adalah hari untuk berjumpa Dr Laila. Pukul 8pagi ayah dan ibu telah menghantar kakak Sarah ke rumah pengasuh di Taman Universiti. Kemudian ayah terus membawa ibu ke Hospital pakar puteri tanpa bersarapan pagi, ingatkan nak sarapan di kantin hospital itu saja tetapi apabila berjumpa Dr Laila, bukaan ibu dah 5cm, jadi beliau mengesyorkan supaya dibawa terus ke bilik bersalin. Doktor menjangka ibu akan bersalin pada hari ini juga, samada petang atau malam.

Lebih pukul 10.45pagi ibu telah masuk ke bilik bersalin, manakala ayah sibuk dengan urusan pendaftaran wad dan pembayaran deposit hospital sebanyak RM2000. Sementara menunggu ibu, ayah menghubungi mak tok dan pengasuh Sarah untuk memberitahu hal ini dan menumpangkan sarah tidur di rumah pengasuh sehingga semuanya selesai. Layanan di hospital swasta jauh berbeza dengan layanan di hospital kerajaan, jururawat asyik tanya nak makan atau minum apa sahaja, yang peliknya mengapa sewaktu didalam bilik bersalin hospital kerajaan langsung tidak boleh minum air? Jam 3 petang bukaan ibu masih lambat sekitar 6.5cm sahaja. Kemungkinan ibu lambat lagi untuk bersalin, mungkin sebelah malam.

Ayah amat mengharapkan agar ibu selamat bersalin sebelum waktu maghrib kerana hari ini ialah 10hb Muharam iaitu tarikh lahir kakak sarah. Sekiranya bayi lahir sebelum maghrib maknanya harijadinya sama dengan kakaknya. Sekitar pukul 6 petang Dr Laila masih lagi di dalam bilik pembedahan, dia memberitahu jururawat sekiranya sudah masanya untuk ibu bersalin agar memanggilnya dengan segera, tapi bukaan ibu masih sekitar 7cm. Dr Laila menyuruh jururawat memecahkan air ketuban tetapi tidak berjaya. Lepas solat maghrib ayah masuk ke bilik bersalin, ayah lihat keadaan agak kelam kabut sedikit seolah-olah masanya sudah tiba untuk ibu bersalin. Kebetulan pula Dr Laila sampai tepat pada masanya. Setelah puas meneran sekitar 15-20min akhirnya dengan sekali teran ibu telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.285kg pada pukul 7.56malam Jumaat  bersamaan 11hb Muharam 1427H, satu hari lewat dari kelahiran kakaknya.

Setelah semuanya selesai ayah terus menghubungi mak tok dan nenek dikampung. Lebih kurang jam 10 malam ayah bergegas keluar hospital untuk balik ke Melaka mengambil nenek dan menguruskan uri. Ayah sampai di Melaka lebih kurang jam 12.30 malam. Keesokan harinya setelah mengali lubang untuk menanam uri, ayah terus bergerak ke Johor untuk melihat ibu. Ayah sampai di Hospital lebih kurang pukul 11 tghari lalu berjumpa ibu dan menguruskan segala urusan untuk keluar hospital dan borang surat beranak. Sampai di rumah dah pukul 1 tghari, ayah terpaksa bergegas ke masjid kerana hari itu adalah hari Jumaat. Selepas Jumaat ayah terus ke rumah pengasuh untuk mengambil kakak sarah, dan ayah sempat merakam handycam wajah kakak sarah sewaktu kali pertama berjumpa dengan adiknya. Kakak sarah terpingga-pingga kehairanan melihat bayi. Keesokan harinya, 12hb Feb 2006 mak tok dan tok wan dari Kedah sampai.

Pada hari ke tujuh, ibu dan ayah telah mencadangkan beberapa nama untuk diberikan kepada bayi, dan setelah kebuntuan kami menyuruh tok wan atau mak tok sahaja yang memilih nama yang diberikan. Akhirnya nama Nurin Insyirah menjadi pilihan mereka. 16hb Feb 2006, ayah membawa ibu dan Nurin ke hospital untuk membuat pemeriksaan sebelum menghantar ibu berpantang di kampung. Sebelah petangnya, ayah ke JPN Kulai untuk membuat pendaftaran surat beranak. Setelah segalanya selesai, 17hb Feb.2006 ayah dan ibu serta kakak sarah menaiki kereta tok wan untuk balik ke kampung di kedah berpantang selama 44hari.  TAMAT     



Blog EntryPengalaman bersalin (SARAH SOFIYAH BINTI RAHIM)Dec 14, '06 3:24 AM
for everyone

Aku selamat diijabkabulkan pada 13hb Disember 2002 ketika berusia 23 tahun dan suamiku 27 tahun. Aku disahkan mengandung setelah 6 bulan kami bergelar suami isteri. Alangkah gembiranya aku rasakan seolah-olah tidak percaya bahawa aku bakal menjadi seorang ibu, tetapi adakalanya aku berasa takut juga dan risau untuk melahirkan anak. Dari minggu ke minggu aku sentiasa mengambil berat tentang pemakanan dan kandunganku.

Aku banyak meluang masa dengan mencari bahan bacaan dari internet, majalah dan buku-buku yang berkaitan tentang kehamilan dan penjagaan bayi. Seawal usia kandungan 5 bulan aku sudah membeli buku-buku cerita berbahasa inggeris untuk di baca kepada anakku di dalam kandungan.  Suamiku tersenyum apabila aku sering pergi ke kedai buku dan membeli buku-buku cerita untuk anakku. Maklumlah pengalaman pertama mengandung.

Sepanjang tempoh kehamilan, Alhamdulilah aku tidak mengalami sebarang alahan. Cuma ketika usia kandunganku 1 hingga 3 bulan, aku sering merasa loya, kurang selera makan, tidak boleh menghidu bau masakan dan sering rasa mengantuk. Selepas usia kandungan melebihi 3 bulan, selera makanku semakin bertambah. Berat badanku semakin meningkat dari 50kg hinggalah 70kg.

Aku berasa risau apabila teman-teman sepejabatku mengatakan anakku mungkin besar dan susah untuk dilahirkan, tetapi selera makanku sememangnya tidak boleh dikawal.  Setelah usia kandungan memasuki 9 bulan perasaanku sudah mula tak tenteram, adakalanya aku berasa takut untuk melahirkan anak, tetapi adakalanya aku berasa tak sabar-sabar untuk melihat wajah anakku. Aku dan suamiku sentiasa berdoa agar anakku selamat dilahirkan.

Aku dijangka akan melahirkan anak pada 9hb Mac 2003 tetapi pada 25hb Feb aku sudah mula merasakan kandunganku sudah turun ke bawah, aku mengusik suamiku “mintak-mintak janganlah anak kita lahir pada 29hb Feb kerana ia tahun lompat, 4 tahun sekali baru dapat sambut harijadinya” Tetapi pada malam 28hb aku telah mula rasa seperti sengugut dan asyik hendak membuang air kecil. Keesokkan harinya 29hb Feb adalah hari ahad, aku mengajak suami  ke klinik untuk membuat pemeriksaan. Doktor mengatakan bahawa kepala anakku telah berada dipelvik, peringkat ini dinamakan “false labour” dan kebanyakan wanita mengandung akan keliru, menyangkakan ia sudah sampai masa untuk bersalin.

Pada 1hb Mac, hari isnin aku pergi kerja seperti biasa tetapi aku rasakan senggugutku semakin menjadi-jadi, aku menjadi tak larat lalu aku mengambil keputusan untuk mengambil cuti seminggu awal dari tarikh aku dijangka bersalin. Pada malamnya aku berasakan sakitku semakin kerap, kontraksinya berlaku dari setengah jam sekali hinggalah ke berapa minit sekali. Sewaktu itu jam dah menunjukkan pukul 11.00malam. Aku cuba melelapkan mata tetapi tidak boleh kerana sakit yang menjadi-jadi. Jam 11.30malam aku mengadu kepada suamiku yang kebetulan belum tidur dan sedang menonton TV. Dia mengajakku terus ke Hospital mungkin dah sampai masanya untuk aku bersalin, tetapi aku masih tak percaya kerana air ketubanku masih belum pecah. Dan ketika itu suamiku memberiku minum air zam-zam dan membuat air selusuh untukku. Pukul 12malam aku rasa semakin sakit lalu menyuruh suamiku membawaku ke klinik sahaja, tetapi suamiku terus membawa ku ke hospital.

Aku sempat bergurau dengannya “ahh.. ni karang kalau pergi hospital mesti nurse tu suruh balik punya! mesti lambat lagi ni…” Setibanya kami di hospital aku terus berjalan masuk ke wad dan suamiku menguruskan pendaftaran. Alangkah terkejutnya aku kerana bukaanku sudah 7cm. Kelam-kabut suamiku ketika itu pergi semula ke dalam kereta membawa segala keperluan untukku bersalin. Aku dimasukkan ke dalam dewan bersalin jam 1 pagi dan suamiku menunggu diluar dewan.


Apabila masuk kedalam dewan bersalin bukaanku menguncup semula ke 4-5cm, tetapi kontraksi semakin kerap berlaku. Semakin lama, tekakku semakin dahaga yang teramat amat, tetapi jururawat tidak membenarkan aku minum air kerana sebab-sebab tertentu. Aku berasa amat sakit sekali, aku menyuruh jururawat yang menjagaku itu agar aku di bedah sahaja. Tetapi jururawat itu menenangkan aku, “Rugi kalau akak tak rasa pengalaman bersalin ni, lagi pun kalau nak lakukan pembedahan kena pergi hospital besar”. Apabila ku rasa sakit, aku berpaut kuat pada besi katil hingga jururawat tersebut menegurku takut patah. Akhirnya aku diberikan pernafasan menggunakan gas untuk mengurang rasa sakit. Air ketubanku mula dipecahkan oleh jururawat.  Suamiku yang berada diluar bilik bersalin menunggu dengan penuh resah hinggalah jam 6 pagi. Suamiku bertanyakan kepada jururawat bilakah aku akan bersalin, kerana dia ingin sembahyang subuh dulu takut tak sempat berada disisiku untuk melihatku bersalin. Jururawat menyuruhnya sembahyang dulu kerana bukaanku sudah hampir untuk bersalin. Selepas sembahyang subuh, suamiku sempat menelefun ibu bapaku memberitahu aku dah nak bersalin.

Lebih kurang jam 6.40pagi suamiku dipanggil masuk ke dalam dewan bersalin untuk menyaksikan proses kelahiran.  Alhamdulillah lebih kurang 10min, aku telah berjaya melahirkan anak perempuan seberat 2.66kg pada pukul 6.52pagi di samping suamiku tersayang.

             Rupa-rupanya barulah aku tahu bahawa sakit sebelum bersalin itu lebih sakit dari proses ketika bersalin. Aku terkejut kegembiraan apabila pertama kali memangku anakku. Tidak kusangka betapa nikmatnya pengalaman ini, inilah anugerah Tuhan yang tidak ternilai.

 Aku bersyukur kerana telah selamat melahirkan anakku, Sarah Sofiyah secara normal pada pagi hari Asyura 10hb Muharram bersamaan 2hb Mac 2004 (02.03.04). Jururawat mengatakan bahawa anak akulah bayi yang paling kecil sekali dilahirkan pada hari tu, aku hanya mampu tersenyum kesyukuran.

Suamiku terus membawa pulang uri dan membawa ibunya datang untuk menjagaku. Keesokkan harinya aku dibenarkan keluar hospital, dan pada hari ke empat ibuku sampai bersama adikku dari kampung dan aku pulang ke Kedah pada hari ke enam untuk berpantang di sana selama 44 hari. Pada kesempatan ini aku juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua staf di wad bersalin Hospital Kulai yang telah melayanku dengan baik sekali. TAMAT     

                                                             Sarah ketika berusia 1 tahun

 

Sarah ketika berusia 3tahun




                           


© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help

Template design - Copyright © 2005 sonnenvogel.com All rights reserved.